mutakhir

Derita jangkitan kuman pada kulit [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang anak sanggup berhenti kerja demi menumpukan sepenuh perhatian kepada ibunya yang menderita jangkitan kuman pada kulit sehingga menyebabkan sebahagian anggota badannya melecur dari paras pinggang hingga kaki sejak setahun lalu.

Siti Asiah Mohamad, 42, berkata dia yang sebelum ini bekerja mengambil upah menjemur keropok demi menyara kehidupan mereka sekeluarga nekad untuk berhenti kerja memandangkan ibunya, Ramlah Nor, 75, sudah uzur dan tidak mampu berjalan selain segala keperluannya perlu diuruskan termasuk memandikannya.

Katanya, pada awal tahun lalu, ibunya mengalami demam panas berpanjangan selama seminggu sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bagi mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke dalam wad selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, mendapati terdapat jangkitan kuman dalam darah dan juga permukaan kulit sekaligus menyebabkan kulit ibu seakan-akan melecur di beberapa anggota badan dari paras pinggang ke bawah sehingga. Pada masa sama, ibu juga menghidap penyakit darah tinggi.

"Bagi mengetahui perkembangan kesihatan, ibu perlu menghadiri temujanji di HRPZ II dengan menaiki kereta tambang dengan bayaran RM20 untuk pergi dan balik memandangkan kami tidak mempunyai kenderaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, semalam.

Siti Asiah yang masih belum berkahwin berkata, bagi menampung perbelanjaan keluarga, mereka kini bergantung kepada adiknya, Siti Nurhuda Mohamad, 33, yang bekerja di kedai makan dengan upah diperoleh RM20 sehari yang hanya cukup-cukup makan.

"Kami tidak kisah makan ala kadar sahaja asalkan tidak berhutang atau menyusahkan sesiapa.

"Bagaimanapun, mujurlah ibu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 yang digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluannya seperti ubat-ubatan dan juga lampin pakai buang.

"Buat sementara ini, biarlah saya terus berkorban bagi memastikan ibu tidak terabai dan sudah semestinya sebagai anak wajib menjalankan tanggungjawab menjaganya selepas arwah ayah, Mohamad Ngah meninggal dunia sejak 30 tahun lalu disebabkan penyakit kanser usus," katanya.

Bagaimanapun dia bimbang dengan keadaan rumah uzur didiami mereka yang sudah reput apabila sebahagian dinding dimakan anai-anai dan kejadian ditimpa pokok yang tumbang Rabu lalu.

"Ia berlaku pada 2 pagi apabila angin kuat menyebabkan pokok tumbang dan menghempap bahagian tepi rumah.

"Mujur pokok itu tersangkut pada rangka atap, kalau tidak mungkin kami turut dihempap ketika tidur. Kejadian itu juga menyebabkan zink dan dinding pada bahagian bilik tidur rosak.

"Mujur orang kampung membantu kami mengalihkannya namun sehingga kini kami masih belum membaikinya kerana tidak berkemampuan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0301041100052945 atas nama Siti Asiah Mohamad atau boleh menghubunginya di talian 012-9510830.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 12:15pm
d