mutakhir

Pasukan khas siasat kejadian mendapan tanah di Bestari Jaya [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat punca kejadian tanah mendap di Jalan PKPS, Bestari Jaya, pada 15 Januari lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat KSSB, Suhaimi Khalidi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.

"Kita sedang mengenalpasti kerosakan dan kerugian lain di tapak dan kawasan berhampiran. Keselamatan tetap menjadi keutamaan KSSB dan kami ingin meyakinkan orang awam bahawa keadaan di lokasi kejadian terkawal.

"Setakat ini tiada risiko kesihatan dan alam persekitaran," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, pihaknya mengesahkan berlaku mendapan tanah di lot bersebelahan yang menggelongsor masuk ke tapak operasi perlombongan di lokasi kejadian kira-kira 6.45 petang, 15 Januari lalu.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, tapak operasi terbabit ditutup dan semua aktiviti pengoperasian serta penjualan dihentikan.

"Pasukan Tindakan Kecemasan KSSB sedang bekerjasama bersama bomba dan polis di tempat kejadian untuk memantau keadaan tapak operasi.

"Sehingga kini, tiada kehilangan nyawa dilaporkan," katanya.

Media melaporkan seramai 71 pekerja di dua kilang berasingan menempuh detik cemas dan menakutkan apabila berlaku tanah runtuh berhampiran kilang dan asrama pekerja, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian itu, 58 pekerja kilang menternak ulat untuk makanan ayam dan 13 pekerja mengorek tanah liat yang menetap di rumah kongsi berkenaan selamat.

Berita berkaitan

71 pekerja tempuh detik cemas tanah runtuh

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 1:21pm
d