mutakhir

Pencarian lelaki jatuh longkang diteruskan sehingga Teluk Intan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Operasi mencari lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, berdekatan Chemor, di sini, Khamis lalu, diteruskan hingga Teluk Intan di daerah Hilir Perak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi yang pada mulanya membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, kini turut membabitkan bantuan daripada BBP Batu Gajah dan BBP Teluk Intan.

Katanya, pencarian Ahmad Amin Ismail, 58, diteruskan di permukaan air menggunakan bot dan kayak, membabitkan kekuatan 73 anggota yang membabitkan pelbagai agensi.

"Strategi pencarian dilakukan melalui pembahagian kepada enam sektor, dengan sektor terakhir meliputi kawasan dari Kampung Jagah hingga Teluk Intan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setakat petang semalam pencarian mangsa yang pada mulanya meliputi kawasan pertemuan longkang dengan Sungai Klebang diperluaskan sehingga jarak 30 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Menurutnya, pencarian diteruskan pada sebelah malam tadi meliputi kawasan tebing Sungai Kinta.

Terdahulu, Ahmad Amin dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat apabila Yamaha Ego S ditunggangnya terbabas menyebabkan dia terjatuh ke longkang.

Motosikal ditunggang mangsa bagaimanapun dijumpai di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

'Bapa 'hai' saya pagi semalam, kini dia hilang dibawa arus'- Nur Khairunnisa

Lelaki dihanyutkan arus deras longkang

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:41pm
d