mutakhir

Lima remaja cemas diekori individu tidak dikenali

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Sekumpulan lima remaja lelaki berdepan detik cemas apabila diekori individu tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Sungai Gawi, di sini, semalam.

Malah, salah seorang mangsa berusia 18 tahun turut menanggung kerugian apabila motosikal yang dilarikan suspek turut dirosakkan.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada rakan dikenali kira-kira 10 malam Jumaat lalu memaklumkan dia bersama dua lagi rakan tersadai di tepi jalan selepas kereta dinaiki mereka kehabisan minyak.

Katanya, rakannya itu meminta mangsa menghantar petrol sebelum datang bersama remaja lelaki terbabit ke lokasi dengan menunggang sebuah motosikal selepas membeli bahan bakar itu di stesen minyak berhampiran.

"Mangsa bersama rakannya tiba di lokasi kira-kira 12.15 tengah malam (Sabtu) dan tiga rakan mereka ketika itu sedang menunggu di dalam kereta.

"Tanpa membuang masa, mereka terus menuang petrol dan segera menghidupkan enjin kereta sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta tidak dikenali yang berhenti berhampiran mereka.

"Seorang lelaki tidak dikenali yang memegang sebatang kayu keluar dari kenderaan berkenaan dan mengarahkan lima remaja terbabit supaya tidak melarikan diri," katanya.

Sumber berkata, kumpulan remaja yang ketakutan melarikan diri sebelum mereka diekori sehingga menghala ke Bukit Simpul Kenyir, di sini.

Katanya, ketika berada di satu selekoh, kumpulan itu berpecah dan mangsa bersama rakannya yang menaiki motosikal mengambil keputusan bersembunyi di paya berdekatan.

"Ketika bersembunyi, mangsa terdengar motosikal yang ditinggalkan diketuk beberapa kali sebelum enjinnya dihidup dan dilarikan.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya menemui semula motosikal itu di dalam sebuah kebun di Kampung Basong, di sini, kira-kira 2.15 pagi (Sabtu) bersama kereta dinaiki suspek.

"Pemeriksaan mendapati motosikal itu sudah dirosakkan manakala di dalam kereta yang sudah dipatahkan nombor pendaftaran pula ditemui sebilah parang, sebatang kayu dan beberapa helai daun dipercayai daun ketum sebelum satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:41pm
d