mutakhir

Dah 95 kali derma darah sejak 23 tahun lalu

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: "Saya menderma darah sejak 23 tahun yang lalu dan kini masih tetap konsisten menderma darah sama ada di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban atau di Hospital Port Dickson," kata Abdul Harris, 60.

Abdul Harris berkata, dia sudah menderma darah sebanyak 95 kali dan akan terus memecahkan rekod peribadinya itu di masa akan datang.

"Kerap menderma darah sebenarnya mampu menjaga jantung dan memberi kesihatan kepada tubuh badan.

"Setiap kali ada program menderma darah, saya tidak akan melepaskan peluang menderma darah dan turut menggalakkan ahli keluarga turut sama," katanya ketika ditemui pada program Mega Blood Donation (MBD) 2021 di Seremban 2 di sini, hari ini.

Sementara itu, Penasihat MBD 2021 Khairul Yazman berkata, program itu dianjurkan bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Pusat Tabung Darah di Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

"Semalam seramai 127 peserta yang mendaftar derma di Hospital Port Dickson dan hari ini kita mensasarkan seramai 350 penderma darah dalam program sehingga petang ini.

"Program yang sama turut dilaksanakan di seluruh negara dan ia inisiatif membantu hospital mendapat bekalan darah menerusi kempen Setitik Darah Sejuta Penghargaan," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:47pm
d