mutakhir

Kulat pestalotiopsis ancam 450,000 pekebun getah

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Penyakit luruhan daun (Pestalotiopsis) yang dialami pokok getah mampu mengancam pendapatan 450,000 pekebun kecil getah seluruh negara jika ia tidak dikawal dengan segera.

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, serangan penyakit luruhan daun itu mula dikesan di semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak, selain turut berlaku di Indonesia dan selatan Thailand.

"Kulat pestalotiopsis ini menjangkiti daun, tangkai, dahan dan buah pokok getah di mana jangkitan serangan lebih tertumpu pada bahagian daun berbanding bahagian yang lain.

"Jika pekebun kecil tidak bertindak segera maka pendapatan mereka mungkin terjejas kerana pengeluaran susu getah akan susut sebanyak 40 hingga 60 peratus akibat penyakit ini," katanya

Beliau berkata, serangan sederhana boleh menyebabkan keguguran daun sehingga 50 peratus dan jangkitan parah pula akan menyebabkan daun getah matang gugur sehingga 90 peratus

Menurutnya, faktor perebakan penyakit itu disebabkan keadaan persekitaran pokok getah itu menyebabkan ia mudah terkena serangan kulat pestalotiopsis.

"Taburan hujan dan kelembapan udara yang tinggi, tiada amalan pembajaan berjadual dan pengawalan rumpai tidak teratur antara faktor penyakit ini mudah merebak.

"Pengecaman penyakit luruhan daun ini dapat dilihat apabila daun luruh bukan pada waktunya, iaitu di musim luruh," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata demikian selepas menyampai bantuan pasca banjir sumbangan sukarelawan MyRaudah di balai raya Kampung Pagi, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau sudah membuat tinjauan ke beberapa ladang getah di kawasan pedalaman Ulu Tembeling yang turut terjejas dengan penyakit itu lalu meminta pekebun melakukan pencegahan di peringkat awal.

"LGM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi memberi penerangan mengenai penyakit ini dan langkah kawalan serta pencegahannya," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:56pm
d