mutakhir

Bantuan khas diberi walaupun sesi persekolahan tangguh

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Bantuan khas bagi meringankan bebanan golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah diteruskan walaupun sesi persekolahan ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, pengagihan bantuan khas berjumlah RM9.6 juta itu akan dimasukkan ke akaun Ketua Isi Rumah (KIR) selewat-lewatnya Rabu depan.

Katanya, bantuan itu diberikan walaupun kerajaan mengumumkan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula Rabu ini ditangguhkan.

"Bantuan khas itu bagi membantu meringankan beban golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), diumumkan kerajaan Selasa lalu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Osman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikutan penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Menurutnya, pengumpulan data jumlah tanggungan terutama membabitkan murid dan pelajar setiap KIR golongan asnaf sedang diproses.

"Setiap KIR yang mempunyai tanggungan tiga orang anak ke atas akan menerima bantuan khas sebanyak RM500 dan tiga anak ke bawah RM300," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 9:15pm
d