mutakhir

Hargai sokongan padu hospital swasta tangani Covid-19

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Kerajaan menghargai sokongan padu diberikan hospital swasta dalam membantu menangani penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, usaha kerajaan membabitkan hospital swasta dalam mengendali kes Covid-19 akan membantu mengurangkan tekanan dihadapi hospital kerajaan ketika ini serta melindungi petugas kesihatannya yang kini sudah cukup terbeban.

"Sebagai permulaan, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz), Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan pegawai kanan kerajaan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang dimiliki GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk memulakan inisiatif perpindahan.

"Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang lain menerusi panggilan video dan dihadiri hampir 400 peserta untuk mula melaksanakan inisiatif itu.

"Saya sungguh terharu dengan sokongan segera yang diterima dari pihak hospital swasta," katanya dalam jawapan balas kepada 46 orang pakar kesihatan negara, yang sebelum ini menandatangani sepucuk surat terbuka ditujukan kepada beliau bagi membangkitkan kebimbangan mereka terhadap penularan Covid-19 ketika ini.

Muhyiddin bersetuju usaha lebih keras mesti dilakukan untuk menamatkan pandemik ini dengan penglibatan secara langsung masyarakat, industri serta sektor sektor swasta.

"Mencari kaedah untuk meningkatkan kepatuhan terhadap peraturan berkuatkuasa demi kebaikan rakyat tetap menjadi keutamaan pentadbiran saya, sama seperti usaha berterusan untuk meningkatkan pencegahannya," katanya.

Beliau berkata, biarpun strategi mengurangkan kes baharu ketika gelombang kedua jangkitan berjaya meratakan lekukan dan hanya satu digit kes direkodkan selama hampir tiga minggu, namun tahap pematuhan lemah kepada prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan kes kembali meningkat.

"(Ia bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila kes harian meningkat lagi, berikutan gelombang ketiga yang diisytiharkan pada 20 September tahun lalu.

"Sejak itu, kes terus meningkat, memaksa kerajaan mengambil tindakan lebih ketat termasuk Pengisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan, yang berkuat kuasa bermula 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan untuk mengawal penularan Covid-19.

"Berdasarkan Proklamasi Darurat, Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan melaksana Ordinan Darurat 2021 yang membolehkan kerajaan menguruskan pandemik dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti kaedah pengujian alternatif contohnya ujian air liur dan kaedah baru lain yang terdapat di pasaran bagi mengesan jangkitan lebih tepat selain yang diguna pakai kini menerusi ujian RT-PCR dan RTK-Antigen.-

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 12:20am
d