mutakhir

Aktiviti di Air Terjun Tanjung Batu dihentikan sementara

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Kerajaan negeri Perak mengarahkan sebarang aktiviti di sekitar kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, di sini dihentikan sementara siasatan selesai dijalankan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataan berkata, pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga diminta menyediakan laporan terperinci berhubung aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kerosakan di kawasan berkenaan.

"Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sudah diarahkan untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlaku kerosakan di sekitar kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang tular di media sosial," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Perak memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kontraktor jika didapati melanggar syarat lesen hingga menyebabkan berlaku kerosakan di Air Terjun Tanjung Batu, Pantai Remis di sini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, jabatan akan membuat semakan sama ada kontraktor sudah melanggar syarat lesen dantindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984.

Menurutnya, pihak kontraktor juga sudah diarah melakukan kerja pembersihan dengan segera di kawasan berkenaan.

"Faktor (berlakunya kerosakan di air terjun seperti didakwa) adanya aktiviti kuari di kawasan berhampiran dan hujan lebat menghanyutkan sisa kayu ke dalam sungai.

"Bagaimanapun saya perlu menunggu laporan daripada Pejabat Hutan Daerah," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Semalam, media melaporkan, keindahan dimiliki air terjun berkenaan dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ismady Radzuan dilaporkan berkata, kegiatan itu menimbulkan kegusaran apabila pokok ditebang tanpa terancang hingga mencacatkan keindahan landskap air terjun berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Keindahan Air Terjun Tanjung Batu diancam
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 12:02pm
    d