mutakhir

SPRM tidak terima laporan aktiviti kuari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima laporan penyelewengan membabitkan aktiviti kuari yang didakwa menyebabkan kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, di sini.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, pihaknya sedang memantau isu itu sekiranya terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.

"Jika ada (unsur rasuah dalam isu itu) dan aduan dibuat, siasatan akan dilakukan.

"Jika orang awam mempunyai maklumat ketirisan berkaitan aktiviti atau sebarang penyelewengan dalam mana-mana kes, diminta melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan berhubung perkara terbabit daripada penduduk mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan sebarang aktiviti di sekitar kawasan berkenaan dihentikan sementara menunggu hasil siasatan selesai dijalankan.

Menurutnya, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Aktiviti di Air Terjun Tanjung Batu dihentikan sementara

Keindahan Air Terjun Tanjung Batu diancam [METROTV]

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 3:53pm
d