mutakhir

Polis jamin selesai siasatan kes rogol tahanan lokap minggu ini [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis Sarawak memberi jaminan siasatan kes rogol membabitkan tahanan lokap di Balai Polis Pusat Miri selesai minggu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang diselaraskan Timbalannya, Datuk Fisol Salleh.

"Saya yakin, siasatan akan selesai minggu ini dan kita melihat apa kelemahan dalam ketidakpatuhan sehingga menyebabkan kes rogol berlaku di lokap itu," katanya.

Aidi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak antara Senior Asisten Komisioner Norzanah Buang dengan pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Martin Koo di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Berikutan insiden itu, dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu gantung kerja serta-merta sementara siasatan sedang dijalankan.

Mengenai kamera litar tertutup (CCTV) di lokap berkenaan, Aidi berkata beliau difahamkan peralatan itu tidak dapat merakam insiden itu.

"Kejadian rogol berlaku di tandas balai yang tiada CCTV, tetapi di lokap memang dilengkapi alat itu. Namun ia tidak boleh merakam, sebaliknya hanya untuk kegunaan anggota bertugas memantau keadaan semasa," katanya.

Remaja perempuan berusia 16 tahun itu dalam laporan polis yang dibuatnya pada 16 Januari lalu mendakwa dia ditahan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri pada 8 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram.

Dia kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Dakwanya lagi, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Antara jam 4 hingga 5 pagi 9 Januari katanya, seorang tahanan lelaki yang memiliki kunci lokap tahanan wanita membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis itu sebelum merogolnya.

Tahanan lelaki terbabit sudah didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan mengaku melakukan perbuatan itu dan kes berkenaan akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari depan.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 3:53pm
d