mutakhir

Beberapa individu lagi akan ditahan - SPRM

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Beberapa lagi individu akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

SPRM dalam kenyataannya berkata, sejak 4 Januari lalu sehingga semalam pihaknya sudah menahan lapan suspek dan 27 saksi bagi menyiasat kes itu.

Katanya, semua suspek yang ditahan itu membabitkan pekerja syarikat, ejen pegimport serta pegawai kerajaan.

"SPRM menyiasat kes berkenaan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

"Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata, tangkapan terbaharu diadakan semalam oleh SPRM Johor yang menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun dan suspek direman enam hari bermula hari ini.

Sebelum ini media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 5:26pm
d