mutakhir

Pesakit Covid-19 diperiksa dahulu di CAC

Oleh Amir Mamat

Melaka: Enam Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dibuka di negeri ini sebagai langkah untuk mengurangkan bebanan kerja petugas di Hospital Melaka bagi membuat saringan wabak berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pusat terbabit akan berperanan untuk membuat penilaian ke atas setiap pesakit Covid-19, sekali gus memutuskan sama ada pesakit itu dihantar ke hospital atau menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, enam lokasi CAC yang mula beroperasi Sabtu lalu itu adalah Klinik Kesihatan (KK) Batu Berendam, Klinik Desa (KD) Parit Gantung, KD Kesang Tua, KK Durian Tunggal, KK Rembia dan KK Kuala Sungai Baru.

"CAC itu akan berperanan menilai setiap pesakit Covid-19 selain membantu peranan dimainkan hospital. Jika sebelum ini semua pesakit dirujuk ke hospital, tetapi mulai minggu ini golongan itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada CAC.

"Apabila menerima rujukan daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) atau melalui aplikasi MySejahtera mengenai pesakit Covid-19, pusat itu akan membuat penilaian bagi setiap pesakit yang melakukan ujian saringan," katanya selepas mengadakan lawatan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa premis perniagaan di sekitar Ayer Molek dan Duyong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isolasi di rumah itu hanya membabitkan kes berisiko rendah dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan membuat penilaian mengenai kapasiti ruang dan bilik sama ada benar-benar menepati kriteria atau sebaliknya.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 6:41pm
d