mutakhir

KKM sambut baik langkah kerajaan perkenal Permai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sebagai inisiatif dalam memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa perkara sudah dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara dalam usaha melicinkan pengurusan Covid-19 di negara ini daripada segi pengurusan kes serta kerjasama dengan hospital swasta.

"KKM sentiasa mengemaskini pengurusan kes Covid-19 di Malaysia. Bagi kes yang disahkan positif, pengurusan kes boleh dilaksanakan di kediaman berdasarkan penilaian awal dijalankan oleh petugas kesihatan Covid-19 Assessment Centre (CAC).

"Terdapat beberapa kriteria kes positif yang dipertimbangkan untuk pengasingan diri di kediaman termasuk mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan, bukan golongan berisiko tinggi, penjaga yang sesuai dan kesesuaian kediaman bagi tujuan pengasingan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti diamalkan sebelum ini.

"Keutamaan menjalani ujian 'swab' diberikan kepada mereka yang bergejala kerana kemungkinan ujian itu tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di sesetengah daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes amat tinggi.

"Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain.

"Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk mengukuhkan kerjasama di antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik Covid-19.

"Antara kerjasama yang dijalankan sepanjang pandemik ini adalah melalui inisiatif menggunakan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta yang akan terus dipergiatkan.

"Baru-baru ini, KKM mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan untuk menentukan hala tuju pengurusan pandemik Covid-19 negara.

"Sukacita dimaklumkan bahawa hasil perbincangan itu, kerajaan memperoleh komitmen daripada beberapa hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit Covid-19 bergantung kepada kapasiti dan kepakaran sedia ada," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, APHM mengenal pasti sebanyak 1,138 katil termasuk 70 katil kritikal di 97 hospital swasta di seluruh negara.

"KKM melalui CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta sedang memperhalusi mekanisma cadangan kerjasama ini dengan lebih lanjut bersama pihak APHM, Kementerian Kewangan Malaysia serta Bank Negara Malaysia dan perkembangan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"KKM berharap kerjasama dan usaha yang dijalankan oleh semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan Covid-19 di negara kita," katanya.

Berita berkaitan:

  • Intipati bantuan PERMAI
  • PM umum PERMAI bernilai RM15 bilion
  • Pelepasan cukai peralatan teknologi dilanjutkan
  • Semua majikan layak mohon subsidi upah
  • Pengecualian cukai jualan kereta penumpang dilanjutkan
  • Dana tambahan perangi Covid-19
  • Diskaun khas bil elektrik 10 peratus
  • Caruman penuh untuk penghantar barangan, makanan
  • Bayaran RM1,000 GKP Permai kepada PKS di kawasan PKP
  • PM jamin kelangsungan hidup rakyat susulan PKP
  • Kerajaan salur RM200 juta bantu mangsa banjir
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 8:25pm
    d