mutakhir

137 rumah rosak dihentam hujan air batu

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Kami terkejut apabila bunyi air hujan yang menimpa bumbung rumah begitu kuat. Apabila dilihat dari dekat, barulah kami menyedari kewujudan air batu yang dibawa bersama ribut itu," kata M Selvam, 48.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, bumbung kediamannya terletak di Taman Jimah Jaya di sini, mengalami kerosakan akibat bencana itu.

Kejadian ribut mendadak itu turut merosakkan 137 kediaman lain di kawasan Tanah Merah Site C, Chuah di sini.

M Selvam berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama keluarga sedang berehat di dalam rumah.

Menurutnya, hujan air batu itu menyebabkan bumbung kediamannya pecah dan air hujan memasuki rumah.

"Saya hanya memikirkan keselamatan kami sekeluarga. Kami tidak berani keluar rumah kerana hujan air batu masih berlaku manakala bumbung kediaman diterbangkan ribut," katanya.

Seorang lagi mangsa, P Gangeswary, 41, berkata, kejadian ini adalah kali pertama berlaku di taman perumahan itu.

"Hujan air batu serta ribut kuat menyebabkan bumbung rumah saya rosak teruk. Air hujan mencurah masuk melalui celah dinding dan bumbung.

"Suami saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran. Kami tidak mampu menanggung kos baik pulih atap rumah yang rosak.

"Saya berharap pihak kerajaan dan pejabat daerah dapat membantu membaik pulih kerosakan berikutan cuaca tidak menentu kini," katanya.

Tinjauan wartawan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching dan Yang Dipertua PAS Port Dickson, Abdul Fatah Zakaria turut melawat ke lokasi kejadian tadi.

Michael Yek berkata, kerosakan membabitkan 47 rumah di Kampung Baru Tanah Merah Site C, 40 rumah di Taman Jimah Jaya dan 50 rumah di Ladang Tanah Merah.

"Saya sudah menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson meminta peruntukan bencana alam daripada Pejabat Daerah dan berharap bantuan segera dapat diberikan kepada semua mangsa," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 8:30pm
d