mutakhir

Lelaki hilang Sabtu lalu ditemukan lemas di Sungai Kinabatangan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Tongod: Mayat lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Millian Sabtu lalu ditemukan terapung di Sungai Kinabatangan hari ini.

Mayat Josman Lutiam, 66, ditemukan terapung di sungai berkenaan oleh orang awam kira-kira jam 9.10 pagi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan, Kapten (PA) Abdullah Sabruddin berkata, sebelum kejadian mangsa dan isterinya berada di kebuk untuk menuai padi.

"Mangsa dilaporkan bergerak ke sungai untuk memeriksa perahu mereka berikutan paras air yang meningkat,

"Lelaki itu kemudiannya tidak kembali sehinggalah isterinya mencarinya di tebing tetapi hanya menemukan enjin serta kelengkapan menangkap ikan dan pakaian mangsa.

"Beberapa minit kemudian, orang kampung datang bersama perahu lelaki terbabit yang dilaporkan hanyut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sehingga mayat akhirnya ditemukan hari ini.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan SAR dihentikan jam 10.30 pagi tadi," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 8:30pm
d