mutakhir

Memperdalam sungai Kuala Abai elak banjir lagi

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Belud: Memperdalam sungai di Kuala Abai, antara langkah yang akan diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah banjir kilat di sini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, muara sungai yang cetek dikenal pasti sebagai satu daripada punca yang menyebabkan banjir di kawasan berkenaan.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengeluarkan kontrak mengorek pasir kepada kontraktor tempatan yang berwibawa serta berkebolehan dalam melakukan kerja memperdalam sungai.

"Ia bakal dilakukan sebagai usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu beliau melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Tun Said Keruak, diiringi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan akan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah banjir yang dilapor semakin kerap selepas insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu beberapa tahun lalu.

Sehingga tengah malam, 240 mangsa daripada 38 kampung dipindahkan ke lima PPS di daerah ini, dengan 102 orang (30 keluarga) di PPS Dewan Tun Said Keruak.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 8:31am
d