mutakhir

Imam masjid negeri Selangor disahkan positif Covid-19

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) Shah Alam yang juga qari terkenal, Abdul Karim Omar disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, ahli keluarga beliau yang turut positif dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Dalam perkongsian menerusi sesi siaran langsung Instagram bersama selebriti dan aktivis kemanusiaan Nur Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah semalam, imam itu berkata beliau menjalani ujian saringan selepas seorang rakan yang ditemuinya sebelum ini disahkan positif jangkitan.

Katanya, antara gejala yang dialaminya sebelum disahkan positif Covid-19 ialah sukar bernafas selain batuk kering.

Sehubungan itu, beliau menasihati umat Islam agar tidak mengambil mudah penularan pandemik serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard selain mengingati Allah SWT dengan berzikir.

Perkongsian beliau mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mendoakan Abdul Karim segera sembuh dan sihat daripada Covid-19, melalui video yang dimuat naik menerusi Instagram beliau hari ini.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 12:45pm
d