mutakhir

Zulkifli titip tiga pesanan buat Atho'ullah

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: "Saya rasa kagum dengan reaksi tenang ditunjukkan Mohamad Nor Atho'ullah, 11, menerima pemergian ayahnya, Mohamad Kamil Ghazali, 51, mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 15 Januari lalu."

Begitu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui perbualan video yang dikongsinya di Twitter miliknya, hari ini.

Melalui ciapan dan video dikongsi itu, Zulkifli bertanya khabar Atho'ullah dan perkongsian itu turut mendapat perhatian warganet.

Zulkifli berkata, beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir menziarahi Atho'ullah disebabkan kekangan masa dan bercadang mahu menjamu selera dengan kanak-kanak berkenaan kelak.

"Kebetulan pada masa ini banyak mesyuarat perlu dihadiri dan lain kali pak cik datang kita boleh makan nasi bersama.

"Apa juga ujian Allah, kita perlu sabar dan tabah. Pak cik dan menteri-menteri lain akan berikan sokongan serta bantuan. Sekiranya ada masalah boleh telefon pak cik, nanti kita tengok apa yang boleh kita bantu," katanya.

Dalam perbualan itu, Atho'ullah turut ditemani kakaknya, Nur Kamilatul Alifah, 26,y ang mengusahakan perniagaan membuat roti secara perusahaan kecil sederhana (PKS) di rumah.

Jenazah Mohamad Kamil selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu dengan bantuan hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Allahyarham yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang tahap empat dimasukkan ke Hospital Serdang pada 31 Disember lalu sebelum disahkan positif Covid-19.

Sementara, Atho'ullah bersama ibunya, Norazah Aziz, 50, dan lima adik-beradiknya yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS, Serdang sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari PKRC.

Dalam perbualan itu, Zulkifli turut memberi tiga pesanan kepada Atho'ullah iaitu perlu taat kepada ibu dan ayah, selain jangan meninggalkan solat dan belajar dengan bersungguh-sungguh.

"Pakcik mahu semua ahli keluarga Atho'ullah berjaya 100 peratus dan menjadi orang yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

"Walau apa pun terjadi dalam kehidupan, kita masih beruntung kerana masih ada ibu, maka sayangilah dan taatlah kepadanya, insya-Allah hidup kita diberkati Allah," katanya.

Zulkifli turut mengakhiri perbualan itu dengan membaca doa dan menyatakan pihaknya akan menyediakan bantuan kepada keluarga terbabit.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 2:42pm
d