mutakhir

Sarjan Sidin ditemukan lemas di muara Sungai Langat

Oleh Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Mayat seorang nelayan yang juga bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditemukan terapung di muara Sungai Langat berdekatan Kaisar Maritim Kampung Kelanang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu kira-kira 6.30 petang daripada orang awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mangsa dikenali sebagai Sidin Osman, 65, dan mayatnya sudah dibawa ke jeti berhampiran oleh anggota polis yang tiba di lokasi.

"Polis mendapati mayat mangsa dipangku anak lelakinya di tempat duduk belakang kiri dalam sebuah kereta dan pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Siasatan awal mendapati mangsa turun ke laut seorang diri dengan menaiki bot yang dipercayai terbalik, dan lelaki itu dijumpai terapung di muara Sungai Langat oleh nelayan lain dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Orang awam membawa mayat mangsa ke Jeti Nelayan Kampung Kelanang dan diserahkan kepada keluarga sebelum memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat malam tadi, manakala bot mangsa dilabuhkan di Jeti Nelayan Kampung Bandar.

Katanya, mangsa adalah bekas jurulatih kawad RELA, malah dipanggil Sarjan dalam kalangan individu yang mengenalinya.

Terdahulu, tular beberapa gambar kejadian menimpa mangsa yang dikenali sebagai Sarjan Sidin dalam kalangan penduduk setempat kerana pernah berkhidmat dalam RELA sebelum ini.

Antara hantaran di Facebook menyebut 'Ramai anak murid perguruan kawad kaki dan sahabat seperjuangan dalam RELA arwah. Al-Fatihah...'

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 3:12pm
d