mutakhir

PKP: Prasarana nafi monorel sesak

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan berlaku kesesakan di dalam tren kendaliannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula 13 Januari lalu.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, kesesakan dalam monorel seperti dilaporkan sebuah portal berita adalah mengelirukan.

"Kami menyifatkan sebuah laporan berita oleh media portal itu sebagai mengelirukan dengan menyiarkan foto tidak bertarikh yang mana memaparkan keadaan penumpang di dalam sebuah tren monorel.

"Kami sentiasa memantau keadaan semasa dalam semua perkhidmatan MRT, LRT dan juga Monorel dan sepanjang pengetahuan kami tidak pernah berlaku kesesakan atau 'overcrowding' seperti yang dinyatakan oleh laporan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, artikel berkenaan juga memaparkan gambar-gambar yang dihantar penumpang tidak bernama mempersoalkan mengapa keadaan itu berlaku ketika Kuala Lumpur dan Selangor sedang dikenakan arahan PKP 2.0.

"Perkhidmatan MRT, LRT dan monorel dibenarkan untuk beroperasi 100 peratus kapasiti dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya.

Tambah kenyataan itu, jumlah keseluruhan penumpang rel berkurangan 80 peratus ketika tempoh PKP 2.0 dengan 150,000 orang sehari pada hari bekerja berbanding 700,000 orang sehari ketika tempoh pra-Covid-19 .

"Semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standar (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Pihak kami juga sentiasa memberikan peringatan di dalam tren dan di stesen untuk sentiasa mengamalkan prinsip-prinsip 3C, 3W seperti yang disarankan Kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 5:27pm
d