mutakhir

Halimah Sadique positif Covid-19

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique disahkan positif Covid-19, hari ini.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan Halimah yang membuat ujian saringan, semalam akan menjalani rawatan dan kuarantin di Johor Bahru serta mengikut saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan ini, Datuk Halimah Mohamed Sadique akan terus memantau dan memastikan segala urusan Kementerian Perpaduan Negara berjalan dengan lancar.

"Datuk Halimah Mohamed Sadique mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan beliau dan memohon maaf di atas segala kesulitan dan masalah yang timbul akibat perkembangan ini," katanya.

Difahamkan, Halimah berada di kawasannya sejak awal tahun ini ketika Johor dilanda banjir.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik turut dijangkiti Covid-19 seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif Covid-19, hari ini.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 5:32pm
d