mutakhir

Polis buru lelaki tipu urusan jual beli kereta terpakai

Oleh Amir Mamat

Melaka: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki menipu dalam urusan jual beli kereta terpakai di negeri ini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Sundra Rajan Ellumalai berkata, lelaki berkenaan yang juga bekas kakitangan sebuah premis menjual kereta terpakai di bandar ini didapati menipu seorang mangsa dari Teluk Intan, Perak dengan menawarkan harga sebuah kereta jenis Proton Satria Neo bernilai RM9,000 menerusi laman Facebook.

Beliau berkata, mangsa berusia 24 tahun yang juga seorang lelaki dikatakan tertarik dengan tawaran itu, lalu menghubungi suspek untuk tujuan bertemu dan berbincang.

"Mangsa datang ke Melaka menaiki bas untuk bertemu dengan suspek di sebuah bengkel di Tengkera, di sini dan selepas berbincang dan pandu uji, mangsa berpuas hati serta bersetuju dengan tawaran diberikan.

"Serentak itu, mangsa terus mengeluarkan wang berjumlah RM9,000 di sebuah bank lalu menyerahkannya kepada suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek dikatakan berdalih apabila mangsa meminta beberapa dokumen kenderaan yang ditawarkan itu.

Katanya, menyedari seakan-akan dipermainkan dan ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tengkera pada hari yang sama sebelum pulang semula ke Teluk Intan dengan `tangan kosong'.

"Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Suspek juga sudah dikenal pasti, namun masih menjalankan siasatan lanjut. Langkah selanjutnya akan dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 5:48pm
d