mutakhir

Bekas tahanan SOSMA ditahan pecah rumah

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (SOSMA) antara dua individu yang ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Sentosa Klang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 39 tahun itu ditahan pada 3.30 petang selepas menerima maklumat.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dipercayai terbabit dalam tiga kes di daerah Klang Selatan dan terbaharu di Taman Sri Sentosa, Jumaat lalu.

"Dalam kejadian itu, suspek melarikan sebuah televisyen, alatan audio, wang tunai dan beberapa barangan lain kesemuanya dianggarkan bernilai RM5,000.

"Hasil soal siasat juga percaya suspek turut terbabit dalam kes pemerasan terhadap pekerja dan tuan rumah yang melakukan pengubahsuaian rumah," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua lelaki itu memiliki rekod jenayah termasuk kes dadah dengan seorang daripada adalah bekas tahanan SOSMA kerana terbabit dalam kongsi gelap.

Katanya, kedua-dua suspek yang turut positif dadah itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:01pm
d