mutakhir

Perhilitan tahan pegawai dan anggota FRU

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dari Cawangan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan

kerana memiliki pelanduk dijumpai di dalam sebuah kenderaan jenis Land Rover merah dengan tulisan 'Polis' di Empangan Talang, Kuala Pilah, dekat sini, Ahad lalu.

Mereka ditahan kira-kira jam 1 tengahari selepas pemeriksaan oleh Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap sebuah plastik putih dalam kenderaan terbabit.

Sumber memberitahu, hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat hidupan liar terlarang dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, kesemua ditahan itu berusia antara 33 hingga 47 tahun dan bertugas di FRU Cawangan Seremban, di sini.

"Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, anggota dan Pegawai Penguatkuasaan (PP) Jabatan Perhilitan telah menahan kereta Land Rover merah di jalan besar Kampung Talang berdekatan Empangan Talang, Kuala Pilah.

"Penguat kuasa memaklumkan ingin membuat pemeriksaan dalam kereta terbabit.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki lapan anggota FRU itu, menemui satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk. Pengadu kemudian bertanyakan perihal hidupan liar berkenaan kepada pegawai di situ dan beliau mendakwa bahawa hidupan liar itu miliknya," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai Perhilitan terbabit kemudian memaklumkan bahawa mereka melakukan kesalahan di bawah Akta 716 terhadap kesemua hidupan liar yang disimpan.

Kata sumber itu lagi, antara barang dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Land Rover merah, satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk, tong Coleman dan satu gugusan kunci kenderaan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716)," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:04pm
d