mutakhir

Kilang langgar PKP diarah tutup

Oleh Amir Mamat

Jasin: Taktik pengusaha sebuah kilang pakaian wanita berselindung di sebalik kerja menjahit pakaian pelindung diri (PPE) untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Sebaliknya, helah mereka berjaya dihidu selepas kilang berkenaan didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang tidak membenarkan perusahaan membuat pakaian beroperasi dalam tempoh PKP.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata pengusaha berkenaan dilihat cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjadikan kerja penghasilan PPE sebagai alasan kilang itu beroperasi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengeluarkan arahan penutupan kilang itu serta-merta selain dikompaun RM1,000 kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKP.

"Kilang itu memang menghasilkan PPE, namun pada masa sama, mereka juga menjahit pakaian harian untuk dijual.

"Mereka ambil kesempatan mengaburi mata pihak berkuasa, namun akhirnya kegiatan mereka terbongkar," katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu Op COVID-19 di sekitar daerah itu, hari ini.

Operasi selama tiga jam itu turut disertai anggota penguatkuasa dari Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Sementara itu, sebuah lagi kilang menjahit pakaian sekolah turut diarah tutup serta-merta selain dikompaun.

Mispani berkata, kilang berkenaan didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana beroperasi ketika PKP.

Katanya, antara alasan diberikan premis berkenaan adalah mereka memaklumkan mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun pihaknya terikat dengan Akta 342 ditetapkan MKN.

"Sebuah pasar raya di bandar Jasin juga dikenakan kompaun kerana membuka ruang menjual pakaian yang sememangnya tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.

"Penjualan pakaian itu sudah diarah tutup," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:15pm
d