mutakhir

Pemantapan Angkatan Tentera Malaysia 2021

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Meningkatkan keupayaan aset dan persenjataan serta menjamin kesejahteraan serta kebajikan anggota termasuk veteran adalah matlamat Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk memperkasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui peruntukan Belanjawan 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima tema utama itu termasuklah memperkasa pembabitan ATM, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan serta memperkukuhkan jaringan strategik serta meningkatkan hubungan diplomasi terutama dalam kalangan negara Asean dan antarabangsa.

"Pada 2020, peruntukan Kementerian Pertahanan adalah sebanyak RM15.58 bilion, namun 2021 menyaksikan peruntukan meningkat sebanyak 1.8 peratus iaitu RM15.86 bilion, merangkumi perbelanjaan mengurus (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE).

"Peningkatan dalam peruntukan yang diterima ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan terhadap keutamaan pertahanan negara," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 secara sidang video tadi.

Ismail Sabri berkata, keadaan persekitaran keselamatan tidak menentu dan ancaman keselamatan bukan tradisional yang membimbangkan adalah faktor memerlukan tahap kesiagaan ATM dipertingkat.

Justeru, katanya, ATM akan memastikan peruntukan diperoleh digunakan sebaik mungkin dalam memenuhi segala keperluan menjaga keselamatan negara.

Berkongsi kejayaan tahun lalu, beliau berkata, ATM menerajui operasi kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan di bawah Op Benteng yang dilaksanakan secara bersepadu membabitkan 19 agensi.

Tambah beliau, kementerian turut menambah beberapa aset baharu selain menyelenggara dua kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menyiapkan 223 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Katanya, kebajikan anggota dan veteran turut diutamakan melalui pelaksanaan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), bantuan khas kewangan Aidilfitri, bayaran khas kewangan (BKK) Prihatin Nasional dan elaun kenangan kepada veteran ATM.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:19pm
d