mutakhir

93 keluarga 'terkandas' di PPS, kediaman terjejas banjir termenung

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Seramai 325 mangsa banjir membabitkan 93 keluarga dari Kampung Tanah Puteh, Serian masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka masih ditenggelami air banjir termenung.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, semua mangsa masih ditempatkan di PPS SK Tanah Puteh.

Beliau berkata, penduduk kampung berkenaan mula dipindahkan ke PPS sejak tengah hari, 14 Januari lalu.

"Sehingga 4 petang hari ini, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS SK Tanah Puteh masih kekal.

"Ini kerana kampung berkenaan dilanda banjir termenung," katanya.

PPS SK Tanah Puteh adalah satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Sarawak hari ini manakala 50 lagi ditutup secara berperingkat sejak 12 tengah hari, Sabtu lalu.

Banjir mula melanda Sarawak pada 12 Januari lalu akibat pertembungan hujan lebat dengan fenomena air pasang besar.

Jumlah tertinggi mangsa banjir yang ditempatkan di PPS dicatatkan pada 5 petang 15 Januari lalu apabila mencecah seramai 4,413 mangsa daripada 1,171 keluarga.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:44pm
d