mutakhir

Lapan lagi kem ATM baru bakal dibina

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak lapan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu akan dibina di Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat kem akan dibina di tiga negeri di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing dua di Sabah Sarawak menerusi peruntukan Belanjawan 2021.

"Kementerian memperuntukkan RM539 juta bagi pelaksanaan pembangunan projek fizikal seperti pembinaan kem tentera, pembangunan infrastruktur bagi Markas Tentera Darat, Laut dan Udara serta pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

"Sebanyak RM3.93 bilion diperuntukkan untuk perolehan kelengkapan dan aset baharu serta penyenggaraan aset sedia ada," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 secara sidang video tadi.

Ismail Sabri berkata, ATM dijangka menerima beberapa lagi perolehan aset tempur antaranya 37 unit Armour Personnel Carrier (APC) Gempita, sebuah unit meriam Howitzer, tiga Littoral Mission Ship (LMS) dan enam unit Helikopter MD530G.

Katanya, ATM turut menerima tambahan aset baharu termasuk enam Intercepter Craft (FIC), 63 Truck 1 tonne GS Cargo dan 27 All Terrain Vehicle (ATV) bertujuan memperkasa kawalan sempadan.

"Pada tahun ini juga, ATM akan melaksanakan 15 perolehan aset baharu iaitu mobiliti Tentera Darat, mobiliti perairan Tentera Darat, pesawat Light Combat Aircraft, kenderaan dan peralatan Aviation Ground Support, kenderaan bomba.

"Peralatan Kuasa Tembakan, peralatan pasukan khas, Air Defence Radar, senjata dan peralatan BOPKP, sistem HIS serta peralatan pergigian.

"Kesemua aset baharu ini sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan kesiagaan ATM dalam mendepani ancaman semasa dan cabaran yang mendatang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merancang menambah dua pos kawalan sempadan di Batu Sempadan 34 dan Batu Sempadan 36 di Padang Terap, Kedah.

Katanya lagi, pembinaan pos kawalan sempadan itu dilakukan membabitkan 21 pos kawalan keseluruhan bermula tahun ini sehingga 2023.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:56pm
d