mutakhir

Visi satu anggota ATM dapat satu rumah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan merancang membangunkan projek kedua di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaannya akan dilakukan di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur.

"Projek kedua berkenaan dijangka akan bermula pada tahun ini.

"Ia akan membabitkan 7,374 unit rumah berharga antara RM150,000 sehingga RM400,000 seunit," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 secara sidang video tadi.

Selain SASaR, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut merancang membina 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu dengan kos keseluruhan berjumlah RM500 juta.

Katanya, pelaksanaan projek baharu itu akan membabitkan lima lokasi iaitu Kem Muara Tuang di Sarawak; Kem Kabota Tawau; TUDM Kota Samarahan; Markas Wilayah Laut 2 di Sabah dan Kompleks 91 GOP di Perak.

"Selain itu, terdapat baki 141 unit RKAT membabitkan dua kontrak sewaan secara berkelompok yang masih lagi dalam proses perolehan dan tiga perancangan perolehan sewaan baharu membabitkan 364 unit RKAT di Pahang, Kuala Lumpur serta Sabah.

"Kita juga akan mencadangkan RKAT dilaksanakan dengan menggunakan kaedah inisiatif kewangan swasta (PFI) pada masa depan bagi menampung kekurangan RKAT," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 7:30pm
d