mutakhir

37 Pati tak sempat pulang ke Indonesia

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Cubaan sebuah bot membawa 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia pulang ke negara mereka menerusi perairan Sungai Buloh, di sini, dipatahkan Pasukan Polis Marin, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot itu dikesan sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang pada 10.30 malam semasa melakukan rondaan Op Benteng.

"Ketika anggota cuba menahan bot terbabit, ia enggan berhenti dan cuba melarikan diri lalu mereka bertindak pantas dengan melompat ke dalam bot itu dan menahan tekong serta dua kru.

"Hasil pemeriksaan menemui 37 Pati terdiri 29 lelaki, tujuh perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua Pati dan kru bot dibawa ke Pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut, manakala bot berharga RM30,000 serta tiga telefon bimbit turut dirampas.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 9:01pm
d