mutakhir

Peningkatan harga MSM tidak jejas harga minyak masak

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) mengalami peningkatan ketara antara Julai 2019 hingga Januari 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.

Katanya, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40.

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini, mengaitkannya dengan kenaikan harga MSM.

Katanya, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan kira-kira 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kg manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.

"Dalam masa sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.

"Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020. Harga MSM meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada 2019.

"Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit ditentukan oleh pasaran dunia membabitkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, peningkatan harga MSM meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini.

Beliau berkata, kementerian itu berharap suoaya harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga berkenaan.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 12:37pm
d