mutakhir

'Saya terima kepulangan suami dalam apa keadaan sekali pun'

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Selepas tujuh hari suami hilang ketika menangkap ikan di laut, Rosdiana Mongkin, 41, reda menerima kepulangan orang tersayang itu dalam keadaan apa sekali pun.

Sama ada Irwan Radjab, 47, pulang dalam keadaan selamat atau sebaliknya, suri rumah terbabit tetap sabar dan tabah.

Namun jauh di lubuk hatinya amat mengharapkan agar Allah memelihara keselamatan suami dan rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, daripada sebarang malapetaka di laut.

"Saya reda menerimanya dalam keadaan apa sekali pun dan tidak henti daripada terus berdoa supaya dia dan kawannya terhindar daripada perkara yang tidak diingini.

"Walaupun usaha mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan keselamatan sudah dihentikan, harapan saya agar mereka selamat, tetap kukuh dalam hati dan fikiran," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Gong, di sini hari ini.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun itu menerima kunjungan jiran tetangga dan penduduk kampung yang memberi kata semangat agar terus tabah menghadapi ujian Allah.

Anak sulungnya, Amirul berkata, bapanya dan Ahmad Norizan dipercayai membawa jaring pari dan empat bubu ketika turun ke laut dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat Bandaraya Melaka pada Rabu lalu.

Katanya, mereka menggunakan dua enjin sangkut yang setiap satu 90 kuasa kuda berdasarkan bot besar milik Ahmad Norizan dan mencuba nasib dengan membuang atau melabuhkan empat unit bubu yang baharu disiapkan.

"Bapa pernah menyatakan satu daripada enjin itu menghadapi masalah tetapi sudah menjalani proses pembaikan," katanya.

Sehubungan itu, dia yakin jika satu enjin rosak, satu lagi masih boleh digunakan untuk membolehkan mereka naik ke darat walaupun bukan daratan di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi SAR yang dilancarkan sejak Sabtu lalu dihentikan jam 6 petang semalam berikutan ketiadaan petunjuk baharu.

Walaupun operasi SAR dihentikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan Ops Benteng sedia menyalurkan maklumat jika ada petunjuk baharu.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari isterinya, Faradila Sharudin, 37, selepas suaminya tidak pulang sejak 13 Januari lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kandang pada jam 6 petang Sabtu lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 1:20pm
d