mutakhir

8 anggota FRU ditahan Perhilitan - Polis

Oleh BERNAMA

Seremban: Polis Negeri Sembilan hari ini mengesahkan lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cawangan Seremban termasuk seorang berpangkat inspektor, ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, semua mereka berusia 33 hingga 47 tahun, ditahan kerana disyaki memiliki hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Saya tidak boleh mengulas banyak… (bagaimanapun) saya mengesahkan kita menerima laporan dan tindakan dibuat oleh Perhilitan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Seremban-Labu (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, hari ini.

Katanya, perbuatan menangkap, menembak atau memburu haiwan dilindungi merupakan satu kesalahan, dan mereka yang terbabit, baik orang awam mahupun anggota polis, tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penahanan lapan anggota polis itu yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan maklumat yang tular itu, lapan anggota FRU terbabit ditahan di Kuala Pilah pada 17 Januari lalu selepas pemeriksaan Perhilitan ke atas kenderaan dinaiki mereka menemukan satu kampit plastik yang berisi hidupan liar disyaki pelanduk.

Mereka disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan denda hingga RM1 juta dan penjara hingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 2:16pm
d