mutakhir

Peruntukan RM5.1 juta makanan untuk penduduk Sibu

Oleh Mohd Roji Kawi

Sibu: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5.1 juta bagi menyediakan bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Bahagian Sibu yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 16 Januari hingga 29 Januari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan makanan itu diagihkan kepada 73,000 ketua isi rumah (KIR) di tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit.

Beliau berkata, bagi memastikan proses pengagihan makanan berjalan lancar, penghantaran dilaksanakan dengan kolaborasi bersama pelbagai agensi yang relevan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Turut terbabit dalam proses pengagihan bekalan makanan itu ialah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pihak berkuasa tempatan, ketua masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan.

"Setiap KIR akan menerima bantuan makanan seperti beras, gula, tepung, makanan dalam tin, teh atau kopi, minyak masak, biskut kering dan mi segera," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan majlis pengagihan bantuan makanan di Pejabat Residen Sibu, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak sedang mengagihkan bekalan makanan asas dan keperluan lain seperti susu, lampin pakai buang dan tuala wanita kepada kira-kira 700 keluarga di 32 rumah panjang.

*Selain itu, makanan bermasak juga diagihkan kepada 52 petugas barisan hadapan di satu pusat kuarantin dan 46 petugas barisan hadapan yang bertugas untuk mengawal selia sekatan jalan raya di empat lokasi di Sibu," katanya.

Pada PKP pertama yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 Mac tahun lalu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM16.4 juta untuk mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada 380,568 KIR di negeri ini.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM13.09 juta disediakan untuk 1.3 juta pek makanan bermasak untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan, individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) di pusat kuarantin.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 2:46pm
d