mutakhir

Hamzah stabil, dirawat di PPUM

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang disahkan positif Covid-19 sedang menjalani rawatan serta kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, tahap kesihatan Hamzah berada dalam keadaan stabil ketika ini.

Menurutnya, sebarang perkembangan yang sahih dan rasmi berkaitan tahap kesihatan menterinya, hanya akan dikeluarkan pihak berkenaan.

"Pejabat Menteri Dalam Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan YB Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri memohon agar semua pihak untuk terus mendoakan kesembuhan kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainudin," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan bahawa Hamzah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan keadaan kesihatannya yang merosot.

Mesej yang berbentuk poster itu mulai tular hari ini melalui media sosial, dengan menggunakan logo sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, apabila semakan dibuat di Facebook dan Instagram serta Twitter NGO berkenaan tidak menemui poster sama seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 2:59pm
d