mutakhir

Pelajar parah jatuh tingkat tiga bangunan sekolah

Oleh Melvin Joni

Kuching: Hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, di sini, hari ini, kecoh apabila seorang pelajar lelaki cedera parah akibat terjatuh dari tingkat tiga sekolah terbabit.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.30 pagi ketika pelajar itu berada berhampiran kelasnya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi.

"Mangsa adalah pelajar tingkatan lima aliran sains berumur 17 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans.

"Mangsa menerima rawatan di unit rawatan rapi HUS," katanya.

Awang Din berkata, punca kejadian masih dalam siasatan polis.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 3:25pm
d