mutakhir

Treler langgar khemah SJR

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Beberapa struktur khemah sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan polis di Jalan Chain Ferry, di sini, mengalami kerosakan selepas dilanggar sebuah treler membawa muatan besi dalam kejadian tengah hari tadi

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, treler yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu datang dari arah Perai sebelum melanggar tiang khemah didirikan di sebelah kiri jalan berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu tidak berlaku kejadian buruk terhadap petugas di SJR berkenaan.

"Polis menyediakan laluan khas untuk dilalui lori muatan berat di sebelah kanan namun hairan pemandu itu menggunakan laluan kiri yang disediakan untuk kenderaan awam.

"Akibatnya, bahagian kiri badan lori melanggar dan bergesel dengan tiang khemah SJR sehingga menyebabkan kerosakan terhadap beberapa struktur tiang dan palang khemah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan awal dijalankan ke atas pemandu itu mendapati dia dalam perjalanan ke bengkel membaiki tayar selepas membuat penghantaran muatan di sebuah kilang di Perai.

"Semakan juga mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu Kelas E yang sah serta turut mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Berikutan itu, polis menahannya untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif dadah," katanya.

Noorzainy berkata, pemeriksaan ke atas Lesen Kenderaan Motor (LKM) treler terbabit didapati masih sah dan tidak tamat tempoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 5:01pm
d