mutakhir

'Lemas hanya asbab Allah menjemput Mudin, saya reda...' [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Saya anggap anak insan terpilih kerana 'dipanggil' Ilahi dalam usia muda dan tragedi lemas hanyalah asbab sahaja..itu kekuatan untuk saya reda," kata bapa kepada remaja lemas di sungai, Wan Aznan Wan Ibrahim.

Wan Mohd Azamudin Wan Aznan, 16, terkorban dalam sungai di hadapan rumahnya di Kampung Perupok, Tikat di sini, petang semalam, selepas menyelamatkan dua remaja yang hampir lemas selepas cuba mengambil bola terjatuh ke dalam sungai terbabit.

Wan Aznan, 52, berkata, tragedi itu memberi tamparan buatnya kerana sepanjang membesarkan arwah sejak berusia enam tahun selepas berpisah dengan bekas isteri, anak sulung daripada empat beradik itu adalah anak yang baik, patuh dan sentiasa menyenangkan hati semua orang.

Sambil berlinangan air mata, Wan Aznan menceritakan detik pilu yang menimpa anaknya sebaik mereka sekeluarga selesai menunaikan solat Asar berjemaah tanpa disertai Azamudin seperti kebiasaan.

"Sebaik selesai solat, saya baru perasan Azamudin tidak berjemaah sekali dan tidak lama kemudian kami dikejutkan dengan laungan ahli keluarga dari luar rumah yang memberitahu ada kejadian lemas.

"Saya terus bergegas keluar sebelum mengetahui mangsa lemas itu adalah anak saya sendiri.

"Tanpa menghiraukan keadaan kesihatan selepas baru dua tahun menjalani pembedahan di bahagian paha, saya segera turun ke sungai dan menyelam setakat terdaya di samping berwaspada kerana arusnya agak deras dan dasarnya dalam.

"Saya tidak berganjak dari dalam sungai sambil memohon kepada Allah supaya dia ditemui segera dan tidak lama kemudian anggota bomba menemui jasadnya hanya beberapa meter sahaja dari tempat saya berdiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Menurut Wan Aznan lagi, Azamudin yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini, banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak berkeliaran bebas seperti remaja lain.

"Memang sukar untuk lupakan namun saya perlu akur dengan asbab pemergiannya kerana jika Allah tidak gerakkan hatinya untuk turun ke sungai membantu (dua remaja), dia tidak akan pergi, tapi ia berlaku sebaliknya.

"Saya tidak pernah menyalahkan orang lain kerana sedar segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi, namun adakalanya masih dalam keadaan terkejut dan sukar menerima hakikat," katanya.

Jenazah Wan Mohd Azamudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di sini, 9.30 pagi hari ini.

Berita berkaitan

'Semoga syurga buatmu Mudin...' [METROTV]

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 5:01pm
d