mutakhir

Ibu tunggal jual colek sara anak [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Seorang ibu tunggal sanggup berpanas dan berhujan menunggang motosikal beroda tiga setiap hari untuk menjaja pelbagai jenis 'colek' atau rojak buah demi kelangsungan hidup.

Hasimah Zakaria, 40, yang juga ibu kepada empat cahaya mata, mengakui bermodalkan RM280 dia memulakan perniagaan menjual colek buah sejak 10 tahun lalu, dengan menggunakan motosikal miliknya mengelilingi beberapa kampung sekitar Rantau Panjang untuk menjaja dari rumah ke rumah.

Katanya, kini dia sudah mempunyai tapak berdekatan sebuah pasar raya di Banggol Kulim, di sini, namun masih menggunakan konsep berniaga menggunakan motosikal roda tiga bagi memudahkan pergerakannya.

"Biasanya, seawal 7 pagi, saya bersiap sedia menunggu bekalan buah seperti jambu, mangga, nanas dan kedondong untuk dibersihkan dan dipotong kecil selain memproses colek atau kuah rojak untuk dijual bermula 10.30 pagi.

"Setiap hari, saya akan memproses kuah colek sendiri bagi mengekalkan rasanya yang sedap dengan menggunakan bahan asas iaitu gula melaka, udang baring dan belacan, menggunakan resipi dipelajari daripada abang yang kini menetap di Thailand.

"Sebelum ini, saya menyiapkan barangan berniaga seorang diri, namun kini memandangkan anak-anak tidak dapat ke sekolah, saya dibantu dua anak iaitu Mohamad Hakimi Sulaiman, 16 dan adiknya, Mohamad Azam, 10," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Gong, di sini, semalam.

Hasimah berkata, dia bersyukur kerana masih boleh mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dia menjual colek buah secara bungkus, namun sentiasa mengingatkan pelanggan menjaga prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.

"Sejujurnya, ada rasa takut untuk keluar berniaga namun hanya reda demi mencari sesuap nasi untuk diberikan kepada anak-anak yang sedang membesar. Saya tetap peka dan berhati-hati agar tidak terdedah dengan jangkitan kerana memikirkan anak-anak di rumah.

"Selagi ada daya berniaga, saya tetap usahakan asalkan anak-anak tidak terabai dan dapat terus bersekolah dan menjadi insan yang berjaya serta dapat mengubah nasib keluarga," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 5:34pm
d