mutakhir

Syukur! PKP tak jejas solat jemaah di Negeri Sembilan...

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, bermula Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, bagaimanapun ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta garis panduan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Garis panduan itu menetapkan semua masjid serta surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat fardhu dan solat Jumaat secara berjemaah sepanjang tempoh PKP dengan merujuk kepada SOP dikeluarkan JHEAINS sebelum ini.

"Setiap ahli jemaah diwajibkan membawa sejadah yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah.

"Bagi solat Jumaat, ia juga boleh dilaksanakan dengan mengikut kapasiti ruang solat di masjid atau surau Jumaat," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, tadi.

Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis, selama 14 hari bermula Jumaat ini.

Aminuddin berkata, pusat ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya membabitkan aktiviti sembahyang.

"Bagaimanapun bagi aktiviti lain seperti majlis perayaan, perkahwinan dan pernikahan tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus membuka semua kaunter perkhidmatan di negeri itu dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, operasi Taksa dan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Tabika Perpaduan di Negeri Sembilan adalah dihentikan.

"Kerajaan negeri berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbangkan cadangan bagi membenarkan operasi premis makanan termasuk perkhidmatan penghantaran makanan dilanjutkan sehingga jam 10 malam," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 6:10pm
d