mutakhir

Semua perhimpunan tidak dibenarkan di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Semua majlis sosial dan aktiviti perhimpunan tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dikuatkuasakan di Sibu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua bahagian lain di Sarawak.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di negeri ini apabila jumlah tertinggi dicatatkan hari ini dengan 203 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian sudah diarah untuk memantau semua aktiviti sosial dan perhimpunan di bahagian masing-masing.

"Arahan untuk tidak membenarkan semua bentuk majlis sosial dan aktiviti perhimpunan itu berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Daripada 203 jangkitan dilaporkan hari ini, Sibu mencatat jumlah tertinggi dengan 120 kes positif, diikuti Kanowit (43), Kuching (12), Betong (8), Bintulu (5), Samarahan (5), Miri (4), Dalat (3), Kapit (1), Pakan (1) dan Serian (1).

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kini meningkat kepada 2,570 kes.

"Lapan kluster masih aktif di Sarawak hari ini dengan Kluster Pasai di Sibu terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 139 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kluster berkenaan meningkat kepada 893 kes.

"Tujuh lagi kluster di Sarawak ialah Kluster Rakut di Miri yang mencatatkan 10 kes, Kluster Bukit Sekubong, Sebauh (26), Kluster Jelita di Miri (35), Kluster Keranji Tabuan di Kuching (15), Kluster Bah Sayap di Miri (91), Kluster Stutong di Kuching (40) dan Kluster Mador di Meradong (8)," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 6:26pm
d