mutakhir

Isteri reda jika itu mayat suaminya

Oleh Amir Mamat

Melaka: "Hati saya berdebar apabila melihat gambar mayat dihantar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana pakaiannya sama seperti pakaian terakhir dipakai suami.

"Luluh hati saya, namun saya reda jika mayat ditemui itu adalah suami saya," kata Faradila Sharudin.

Faradila, 35, adalah isteri kepada Ahmad Norizan Mohamad, seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika menjaring ikan di perairan Pulau Undan, di sini sejak Rabu lalu.

Gambar mayat ditemui di Kampung Teluk Lecah, Pulau Rupat, Bengkalis, Indonesia itu dihantar pihak APMM kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Susulan itu, beliau diminta membuat pengesahan serta pengecaman pakaian, barangan serta dokumen peribadi yang ditemui bersama mayat itu di Balai Polis Tiang Dua, di sini, pada 1 tengah hari hari ini.

"Butiran peribadi termasuk lesen memandu tersimpan dalam poket seluar milik suami ditemui bersama mayat berkenaan.

"Saya sangat sedih apabila melihat keadaan suami (mayat) dengan kepala (membengkak) dan rambutnya gugur, namun saya cam sangat pakaian dipakainya pada kali terakhir keluar rumah pada 13 Januari lalu...memang sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis memaklumkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan pihak berkuasa Indonesia bagi pengesahan sebelum mayatnya dibawa pulang.

"Syukur sangat, kerana sekurang-kurangnya dia ditemui dan kalau boleh mayatnya dibawa pulang dengan selamat. Selama ini kami tertanya-tanya keadaan dia selepas hilang di laut," katanya.

Hari ini, satu mayat lelaki lengkap berpakaian yang dipercayai rakyat Malaysia, ditemui terdampar di pesisir pantai Kampung Teluk Lecah, Pulau Rupat, Indonesia.

Mayat berbaju kemeja-t merah dan berseluar jean pendek itu dipercayai seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika keluar menjaring ikan di perairan Pulau Undan, pada Rabu minggu lalu.

Menerusi portal berita m.riau24.com, pihak berkuasa Bengkalis, Indonesia mengesahkan mayat berkenaan adalah rakyat Malaysia berdasarkan kepada penemuan beberapa kad identiti mangsa termasuk lesen memandu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, dilaporkan berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada mayat ditemui itu adalah seorang daripada dua nelayan yang hilang itu.

Katanya, siasatan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu sebelum dapat disahkan sama ada mayat ditemui itu mempunyai kaitan dengan kehilangan nelayan di Melaka.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari Faradila selepas keluar menangkap ikan bersama rakannya, Irwan Radjab, 47, di perairan Pulan Undan sejak 13 Januari lalu, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan lewat petang semalam.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 7:39pm
d