mutakhir

Bom tangan lama ditemui di bawah pokok

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sebutir bom tangan lama ditemui di bawah pokok di padang di Jalan Kemuliaan 1, Taman Universiti, Skudai, di sini, hari ini.

Tinjauan di lokasi kejadian pada 4.50 petang mendapati polis sudah mengepung kawasan padang itu selain menutup laluan sebagai langkah keselamatan.

Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dilihat turut hadir bagi meletupkan bom dan kawasan sekitar diletakkan guni pasir.

Kawasan padang berkenaan terletak kira-kira 50 meter dari barisan rumah penduduk di situ.

Polis dilihat memberi amaran kepada penduduk menerusi pembesar suara supaya tidak keluar rumah dan mencari perlindungan berikutan anggota UPB ingin memusnahkan bom berkenaan yang masih aktif.

Letupan dilakukan pada 5.10 petang dengan bunyi letusan sederhana.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Polis Johor berkata, bom itu jenis bom tangan PRB 36 berukuran panjang 11.5 sentimeter dengan ukur lilit 20 sentimeter.

Menurut kenyataan itu, tindakan pemusnahan dijalankan dengan menggunakan teknik 'high order' melalui kaedah elektrik.

"Pemusnahan dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

"Polis Johor ingin menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.

"Diingatkan supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 9:10pm
d