mutakhir

Paip pecah tidak diganti sejak 40 tahun lalu

Oleh Baharom Bakar

Chukai: Paip bawah tanah usang dan reput pecah punca utama menyebabkan berlakunya pemendapan tanah di jalan utama serta banjir kilat di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, paip bawah tanah milik Syarikat Air Terengganu (Satu) itu tidak pernah diganti sejak 40 tahun lalu.

Katanya, paip besar bawah tanah itu pecah secara tiba-tiba disebabkan tidak mampu menahan tekanan air sehingga IPD Kemaman dilanda banjir kilat dan ditenggelami air sedalam 0.9 meter.

"Kerja menukar paip pecah itu dilakukan segera oleh Satu dan siap sepenuhnya petang ini," katanya.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke lokasi kejadian, hari ini.

Dalam kejadian 11 malam tadi, dua kenderaan milik anggota IPD Kemaman yang diparkir di lokasi mendapan turut rosak akibat ditenggelami lumpur.

Paip air di hadapan bangunan IPD itu pecah menyebabkan kawasan mendapan berlubang dianggarkan seluas tiga meter dan dipenuhi air serta lumpur.

Hanafiah berkata, kerja penggantian dan penyambungan paip pecah itu dilakukan bermula 8 pagi dan siap sepenuhnya pada 6 petang.

Beliau berkata, kejadian itu tidak membabitkan kerosakan harta benda milik PDRM dan hanya permaidani dalam surau rosak akibat ditenggelami banjir lumpur.

Katanya, pihaknya sudah meminta pembekal supaya menyegerakan kerja pemasangan permaidani baru dalam surau berkenaan.

Berita berkaitan

'Paip pecah, IPD Kemaman dilimpahi air'

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 11:19pm
d