mutakhir

Empat ahli sindiket judi dalam talian ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan sebuah kondominium di Kuchai Entrepreneurs Park, di sini, sebagai pusat panggilan.

Serbuan pada 5 petang semalam dilakukan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan pertama polis menahan dua lelaki warga China berusia 30 dan 34 tahun.

"Polis merampas dua komputer riba, modem Internet, 19 telefon bimbit dan wang tunai RM55,000.

"Susulan itu, polis menyerbu pula kediaman lain dan menahan pasangan warga Indonesia berusia 20 dan 22 tahun.

"Pemeriksaan turut menemui sebuah komputer, modem Internet, dua telefon bimbit dan kad akses," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anuar berkata, hasil siasatan semua suspek disyaki terbabit kes judi dalam talian.

Beliau berkata, mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 11:58pm
d