mutakhir

Mengamuk bilik hotel penuh

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Lelaki ditahan kerana dipercayai mengamuk dan merosakkan kenderaan awam hanya kerana bilik hotel penuh di Jalan Duku dekat sini, 4.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, suspek, 33, datang ke hotel bertanyakan tentang bilik namun dimaklumkan pekerja hotel semua bilik sudah penuh.

Katanya, akibat daripada itu, suspek dikatakan tidak berpuas hati dan marah bergerak ke tempat letak kenderaan sambil membawa topi keledar hitam.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan juga melihat suspek memecahkan cermin kereta di tempat letak kenderaan di hadapan hotel berkenaan, katanya.

"Berikutan itu, polis berjaya menahan suspek dan merampas topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin beberapa buah kereta di kawasan berkenaan," katanya melalui kenyataan, hari ini.

"Siasatan mendapati suspek memecahkan cermin empat kereta di kawasan meletakkan kenderaan di Jalan Duku dan punca kejadian kerana tidak dapat menginap di hotel.

"Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methemphetamin dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Low berkata, semua pemilik kereta yang cerminnya dipecahkan sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan juga sudah diambil.

"Suspek akan direman selama empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 11:04am
d