mutakhir

Maqis rampas 3.4 tan bawang merah

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Sebanyak 3.4 tan bawang merah kecil dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Perlis di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini, jam 5 petang, Selasa lalu.

Bawang kecil dari Thailand itu dirampas kerana tidak mempunyai Sijil 3P Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Pengarahnya, Mohamad Arshad Raffin berkata, rampasan itu bernilai lebih RM27,000.

"Ia dirampas berikutan pemandu lori gagal mengemukakan dokumen berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya pada kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 2:23pm
d