mutakhir

2 wanita antara 7 suspek ditahan terbabit kes tetak

Oleh Suraya Roslan

Gombak: Dua wanita adalah antara tujuh suspek yang ditahan berhubung kes tetak seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan jam 2 pagi daripada orang awam memberitahu seorang lelaki tempatan cedera selepas ditetak di stesen minyak berkenaan.

Katanya, hasil siasatan dan maklumat, pihaknya pada jam 12.20 pagi Isnin lalu menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan di depan sebuah rumah di Taman Batu Greenwood, Batu Caves serta merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis ke sebuah rumah di Jalan Sungai Pusu Batu 8, di sini jam 3.30 pagi hari sama dan menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan.

"Polis turut merampas motosikal Modenas GT 128 dan Yamaha 135 LC serta telefon bimbit.

"Seterusnya pada jam 5 pagi hari sama, polis ke sebuah rumah di Taman Batu Greenwood dan merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam kejadian kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pada hari kejadian, mangsa menerima panggilan daripada kenalannya iaitu seorang wanita tempatan dan ingin berjumpa di kawasan berhampiran stesen minyak di Taman Greenwood, Gombak.

"Ketika mangsa menghampiri wanita itu tiba-tiba datang lima lelaki meluru ke arah mangsa dan terus memukulnya.

"Salah seorang suspek melibas parang melibas ke arah mangsa menyebabkan kecederaan di lutut kiri dan jari tangan.

"Motosikal Yamaha 135 LC, sebuah telefon bimbit dan beg dompet mangsa turut dilarikan suspek," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama lima hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 2:38pm
d