mutakhir

10 lelaki terbabit kes curi lateks ditahan

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Polis berjaya menahan 10 lelaki termasuk lima warga asing yang disyaki terbabit dalam kes kecurian 5,570 kilogram lateks menerusi tangkapan berasingan termasuk di Pulau Pinang dan Perak minggu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang jurutera berhubung kecurian lateks iaitu bahan mentah untuk membuat sarung tangan di kilangnya.

"Pada Rabu minggu lalu, kira-kira jam 6.51 petang, seorang lelaki tempatan bekerja sebagai jurutera di kilang sarung tangan di sini, membuat laporan polis berhubung kecurian bahan lateks yang disyaki dicampur dengan air.

"Menurut laporan yang dibuatnya, anggaran kehilangan lateks terbabit sebanyak 5,570 kilogram yang bernilai kira-kira RM54,000.

"Susulan laporan polis yang dibuat oleh jurutera itu, polis menangkap seorang pemandu lori yang hadir bersamanya memberi keterangan selepas laporan berkenaan dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, bertindak atas siasatan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya menangkap dua lelaki tempatan dan tiga warga asing kira-kira jam 5.10 petang di Seberang Perai Selatan, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada 17 Januari lalu.

"Tangkapan di Pulau Pinang itu membawa polis ke sebuah depoh simpanan di Taiping, Perak di mana polis berjaya menahan dua warga tempatan termasuk pemilik depoh dan dua warga asing kira-kira jam 10.25 malam tadi.

"Hasil siasatan mendapati suspek pertama (pemandu lori) menerima bayaran sebanyak RM30,000 secara tunai dan transaksi bank daripada suspek ke tujuh (pemilik depoh).

"Siasatan juga mendapati, tiga suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah, " katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditangkap berumur dianggarkan dalam lingkungan

20 an hingga 50 an.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motorlori (bounded) jenis Mitsubishi, sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara, dua kunci kenderaan berkenaan, tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima tong plastik warna putih mengandungi cecair putih serta satu unit dekoder rakaman kamera litar tertutup," katanya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Tiga suspek warga tempatan yang ditangkap minggu lalu diberi jaminan polis manakala dua lagi warga tempatan yang ditangkap semalam direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 Januari depan.

"Warga asing ditahan reman mengikut Akta Imigresen selama 14 hari dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya.

Dalam perkembangan lain, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) katanya, IPD Klang Utara mengeluarkan 120 kompaun sepanjang pelaksanaannya bermula 13 Januari lalu.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam, tidak menjaga penjarakan sosial, menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan dan tidak membuat imbasan MySejahtera," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 3:14pm
d